Kit Kesan Kencing Tikus


Kit kesan kencing tikus

Serdang: Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya menghasilkan kit LeptoScan2 yang mampu mengesan penyakit kencing tikus seawal hari pertama jangkitan bakteria Leptospira, sekali gus muncul alat pertama seumpamanya di dunia.



Kit sedia ada termasuk di pasaran global, hanya berkesan digunakan selepas tujuh hari jangkitan kerana ia hanya berfungsi apabila antibodi terhasil pada pesakit.

Prof Abdul Rani menunjukkan kit LeptoScan2 hasil inovasi UPM, Serdang. - Foto Nik Rosli Ishak

Ambil masa 15 minit

Profesor Veterinar Bakteriologi UPM, Datuk Dr Abdul Rani Bahaman, berkata alat terbaru yang menyerupai ujian kehamilan itu berupaya mengesahkan kewujudan bakteria Leptospira dalam tempoh lima hingga 15 minit saja pada tujuh hari pertama jangkitan.

Katanya, pengesanan peringkat awal itu penting kerana ia fasa kritikal jangkitan apabila bakteria memasuki saluran darah menyerang organ dalaman menyebabkan pelbagai komplikasi, termasuk demam, sakit kepala dan otot, malah boleh mengakibatkan maut.

LeptoScan2 adalah alat pertama seumpamanya yang menggunakan pendekatan mengesan kehadiran bakteria Leptospira melalui antibodi arnab yang dimasukkan ke dalam kit itu. Sebelum itu, antibodi arnab berkenaan terhasil selepas tujuh hari disuntik dengan bakteria terbabit.

Antibodi bertindak balas
Antibodi sedia ada dalam kit itu seterusnya akan bertindak balas dengan bakteria Leptospira dalam titisan darah pesakit dan membuatkan dua jalur berwarna muncul pada kit sebagai pengesahan jika wujud jangkitan, katanya pada sidang media di sini, semalam.

Abdul Rani berkata, penghasilan kit itu yang dibangunkan bersama seorang lagi penyelidik UPM, Dr Arivudainambi Seenichamy, mampu membantu menangani peningkatan mendadak jangkitan penyakit kencing tikus.

Katanya, berdasarkan statistik Kementerian Kesihatan baru-baru ini, sejumlah 2,262 kes penyakit kencing tikus termasuk 22 kematian dicatatkan di negara ini bagi tempoh Januari hingga Jun lalu.

Pihak yang berminat, boleh menghubungi e-mel zakyjaafar@upm.edu.my atau asrizam@upm.edu.my.

1 comments:

  1. Adakah kit LeptoScan2 telah berada di pasaran sekarang

    ReplyDelete